Anak-anak tak tunjukkan |
SUDAH lama saya ingin berkongsi pengalaman hidup sebagai "IBU TUNGGAL" tetapi setiap kali menulis menyebabkan air mata ini mengalir deras, sederas tinta yang mengalir. Saya memohon hidayah Allah moga diberi kekuatan agar mampu untuk terus menulis bicara hati, berkongsi roda-roda kehidupan ini. Moga cerita saya menjadi semangat, motivasi dan inspirasi kepada kehidupan insan lain khususnya wanita yang bergelar IBU TUNGGAL.
25 tahun dulu
AMIR anak bongsu saya dari 3 beradik. Takdir hidup saya bergelar Ibu Tunggal ketika berusia awal 30an dan anak-anak; amir 1 tahun, angah 3 dan abang 8 tahun.
"Saya berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesulitan hidup sebagai IBU TUNGGAL. Maklumlah, ketiga-tiga anak sedang bersekolah, tentu perbelanjaannya juga banyak. Sebagai ibu saya bermati-matian dan berhempas pulas membesar, membimbing dan menghidupkan anak-anak walaupun bekas suami mengabaikan nafkah dan perbelanjaan kepada mereka.
Bukan tidak pernah meminta, tapi sekali kali ditanya diam |
"Bukan tidak pernah meminta, tapi sekali kali ditanya diam. Keluarga suruh menuntut di Mahkamah Syariah, namun saya tak nak buang masa. Sikap bekas suami yang langsung tidak bertanya khabar dan mengambil tahu kebajikan anak-anak menyebabkan saya malas untuk bergaduh dan bertanya duit belanja anak-anak lagi.
Demi masa depan anak-anak, saya tidak akan mengabaikan mereka walaupun kehidupan perit dan memerlukan pengorbanan yang cukup tinggi. Mak dan ayah menjadi tongkat kekuatan dan membantu saya menjaga anak-anak kala saya keluar mencari rezeki. Syukur dan terima kasih saya pada Allah saya punya orang tua yang penyayang dan prihatin pada cucu-cucu mereka.
Demi masa depan anak-anak, saya tidak akan mengabaikan mereka walaupun kehidupan perit dan memerlukan pengorbanan yang cukup tinggi. Mak dan ayah menjadi tongkat kekuatan dan membantu saya menjaga anak-anak kala saya keluar mencari rezeki. Syukur dan terima kasih saya pada Allah saya punya orang tua yang penyayang dan prihatin pada cucu-cucu mereka.
Syukur ada Mak dan ayah bantu jaga anak-anak |
Inilah Kekuatan Ibu Tunggal |
Cabaran ibu Tunggal
Ya..penatnya hanya Allah saja yang tahu. Semua benda saya buat sendiri. Bangun seawal pagi siapkan anak ke sekolah, siapkan sarapan, bergegas ke tempat kerja, balik berkejar untuk memasak, mengajar mereka dan bergegas kelas mengaji. Saya berkejar-kejar setiap hari setiap waktu. Tambahan anak-anak semua lelaki.
Paling hiba bila Syawal menjelma namun saya berusaha menggembirakan hati anak-anak di pagi raya walaupun hidup kami tidak sempurna.
Banyak kisah suka duka |
"Semuanya kerja Allah"
Takdir Allah untuk saya sangat indah. Dan saya reda dengan apa yang ditentukan kepada saya.
Namun sepanjang membesarkan anak-anak, banyak peristiwa dan cerita suka duka yang kami lalui. Ada tiga cerita yang ingin saya kongsi, cerita yang terus melekat dalam hati sehingga kini.
Cerita 1
Masa tu umur abang, anak sulong saya 13 tahun
Saya nak daftar abang masuk tingkatan 1 sekolah agama di Beseri. Besar harapan saya biar anak sulong ada didikan agama, menjadi pemimpin untuk saya dan adik-adiknya. Jam 10 malam saya dan abang ke Puduraya, kami naik bas paling akhir malam tu untuk ke Perlis. Angah dan Amir saya minta mak jagakan.
Lebih kurang jam 6 pagi kami tiba di Beseri, saya cuci muka dan solat lepas tu naik teksi ke sekolah MATRI di Beseri. Pukul 8 pagi bermula taklimat bersama ibu ayah serta pelajar-pelajar baru. Selesai taklimat, pentadbir arahkan semua pelajar masuk ke dalam dewan bersama ayah sahaja. Ibu tidak dibenarkan.
Abang anak sulong yang paling tabah |
Semua pelajar berjalan bersama ayah masing-masing masuk ke dalam dewan kecuali anak saya. Saya tengok abang berjalan bersendirian sambil menundukkan wajah ke lantai. Sebelum masuk dewan, abang pandang wajah saya. Masa tu mata saya dah berkaca, saya menangis dalam hati. Ya Allah sebaknya tapi saya kawal agar air mata tak tumpah. Saya tak nak abang tengok saya menangis.
Selepas uruskan asrama,
Sebelum balik saya pesan abang, "Belajar elok-elok dan jaga diri abang yer, mama akan datang tengok abang nanti," saya kucup pipi dan dahi abang sebelum berlalu pergi. Saya tahan air mata, wajah abang tenang dan abang tak menangis ketika saya melambaikan tangan. Keluar dari pagar sekolah, air mata saya gugur dan sepanjang dalam bas saya menangis hingga bengkak mata.
Saya tahu hati anak-anak...
Mereka sedih tetapi mereka tak tunjukkan...
Cerita 2
Bila abang masuk asrama tinggal Amir dan Angah |
Amir dan Angah
Bila abang dah masuk asrama maka tinggallah 2 beradik, amir dan angah. Seperti biasa, rutin saya setiap pagi hantar angah ke sekolah dan amir ke tadika. Lepas sekolah mereka balik rumah mak dan ayah di Kg Melayu, Ampang. Lepas kerja baru saya ambil balik. Di Kg Melayu, kakak dan abang ipar serta 5 anak mereka tinggal bersama-sama mak ayah.
Petang tu...
Petang tu sebaik sampai rumah, amir terus mandi manakala saya berehat sebentar atas kerusi. Lepas bersiap amir duduk sebelah saya dan bertanya,
"Mama, kenapa ayah orang lain sayang anak dia?. Kenapa ayah amir tak sayang amir?."
Ketika itu saya memang terkejut mendengar soalan amir. Amir baru 5 tahun dan saya tak jangka amir akan bertanya soalan begitu.
"Kenapa amir tanya begitu?," tanya saya sebak. Air mata dah mula bergenang.
"Amir tengok pak ngah (abang ipar) selalu sayang anak dia. Kenapa ayah amir tak sayang amir?" tanya amir lagi
Saya terkedu sekejap. Memang abang ipar saya selalu memeluk, mendokong dan mencium anak lelakinya yang seusia amir, namun saya tak sangka amir memerhatikannya dalam diam. Saya mula dapat membaca apa yang tersirat dihati anak saya.
Sesuatu yang amir tak pernah rasa sejak usianya 1 tahun |
Tanpa saya sedar selama ini hati anak saya yang berusia 5 tahun tersentuh melihat sepupunya mendapat kasih sayang seorang ayah, sesuatu yang amir tak pernah rasa sejak usianya 1 tahun. Jiwa saya menangis. Berat sungguh apa yang anak saya lalui. Saya kumpul kekuatan dan memeluk amir,
"Semua orang sayangkan amir, walaupun amir tak ada ayah tapi atok sayang amir, tok mak sayang amir, mama sayang amir, abang, angah semua sayang amir," saya memujuk amir sambil memeluk erat amir dalam dakapan saya hingga dia terlelap, seiring air mata saya membasahi bantal yang mengalasi kepalanya.
Saya tahu hati anak-anak...
Mereka sedih tetapi mereka tak tunjukkan...
Cerita 3
Angah anak kedua memang minat melukis. Ada saja kertas atau buku di lukisnya. Suatu pagi ketika sedang siapkan sarapan angah hulurkan sebuah sampul surat bersaiz A4 kepada saya.
"Mama, ni hadiah untuk mama," kata angah kepada saya
"Wah apa dalam ni?" tanya saya kehairanan
"Semalam ada kelas lukisan, cikgu suruh lukis gambar keluarga. Cikgu suruh hadiah pada ibubapa nanti," kata angah.
"Tapi mama jangan buka sekarang, nanti lepas dah hantar sekolah baru buka," pesan angah lagi.
"JANGAN BUKA SEKARANG TAU," beria-ia angah pesan kat saya.
"JANGAN BUKA SEKARANG TAU," beria-ia angah pesan kat saya.
"Ok Ok mama simpan dulu, nanti baru buka," janji saya pada angah.
Selepas angah masuk pagar sekolah, saya terus capai sampul angah. Saya buka...Ya Allah...terasa kesedihan yang teramat didalam hati bila melihat lukisan angah.
Keluarga bahagia dimata angah |
Happy Family
Usia angah 10 tahun. Inilah "HAPPY FAMILY" di mata angah, Keluarga bahagia bagi angah hanyalah kami berempat. Angah zahirkan didalam lukisan ini apa yang berada di hatinya dan apa yang dia rasakan. Saya sebak dan pilu kerana dalam usia muda anak-anak saya terpaksa berdepan dengan suasana yang menyedihkan ini.
Abang (berdiri), Angah (kanan) dan Amir (kiri) |
Namun saya berbangga dengan abang, angah dan amir. Walaupun hidup mereka tidak seperti orang lain yang ada ayah, tetapi mereka tak pernah tunjukkan kesedihan mereka di depan saya.
Saya tahu hati anak-anak.
Mereka sedih tetapi mereka tak tunjukkan...
Mencari Hikmah dalam Takdir Hidup
Sememangnya, menjadi ibu tunggal bukanlah satu tugas yang mudah. Di sebalik tawa dan keramahan tersimpan jutaan keperitan hidup. Sebagai ibu tunggal dari situ saya belajar pentingnya kekuatan dalaman untuk terus mengorak langkah kehadapan.
Namun, dengan rasa redha, keazaman, kematangan dan sikap tidak berputus asa, ia menjadi satu pengalaman hidup yang telah mendewasakan saya.
Namun, dengan rasa redha, keazaman, kematangan dan sikap tidak berputus asa, ia menjadi satu pengalaman hidup yang telah mendewasakan saya.
Bahagia dikelilingi cucu |
Kini sudah 25 tahun saya bangkit daripada kisah duka. Anak-anak sudah dewasa dan Allah temukan jodoh suami yang baik serta dikelilingi cucu yang menceriakan lagi hari-hari saya.
Allah ada disisi |
"Barangsiapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia adalah seumpama seorang mujahid dijalan Allah"
Penutup Bicara
Semoga Allah pelihara Ibu Tunggal serta memberi taufik dan hidayahnya untuk anda sekeluarga. Terima kasih mak dan ayah yang merupakan sumber kekuatan saya sepanjang 18 tahun menjadi ibu tunggal.
Walaupun mereka telah pergi namun semangat mereka masih di sini. Moga dizinkan Allah, jika ada, pada kebaikan yang lahir daripada setiap guris tulisan saya ini…mengalir juga sebagai sungai keampunan dan sumur pahalanya untuk mak ayah saya di Mahsyar nanti. Alfatihah...
Walaupun mereka telah pergi namun semangat mereka masih di sini. Moga dizinkan Allah, jika ada, pada kebaikan yang lahir daripada setiap guris tulisan saya ini…mengalir juga sebagai sungai keampunan dan sumur pahalanya untuk mak ayah saya di Mahsyar nanti. Alfatihah...
Teruskan membaca roda-roda kehidupan saya disini. Moga kisah-kisah kehidupan saya ini menjadi semangat, inspirasi dan motivasi terutama buat IBU TUNGGAL di luar sana.