Sedekah Jariah Mengelakkan Muflis Di Akhirat

Semoga dirahmati oleh Allah. InsyaAllah.


Sedekah Jariah Mengelakkan Muflis Di Akhirat



Pengumuman Pengerusi Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang bahawa masjid masih tidak memiliki Van Jenazah sendiri dan amat memerlukannya begitu menyapa lubuk hati saya dan para jemaah dalam usaha membantu masjid membuat kutipan bagi memenuhi fardhu kifayah ini.

Siapalah saya hendak menderma dengan banyaknya!. Tetapi sebenarnya, ayat saya ini adalah satu kesilapan besar yang sering dilakukan di kalangan masyarakat yang tidak memiliki wang melimpah ruah. Dahulu kala, saya juga berperasaan liat untuk mengeluarkan harta untuk membantu mereka yang susah kerana pendapatan yang diterima bukannya banyak, nak bayar hutang pun pening kepala. Namun, harus diingat akan janji Allah yang tidak akan mengurangkan harta orang yang bersedekah. Kita tidak akan miskin jika bersedekah. Penceramah-penceramah di Masjid Nurul Hikmah pun selalu berkata, tidak pernah ada manusia jatuh miskin akibat dari bersedekah. Malahan, ramai yang bertambah kaya malahan ada yang kaya raya dan rezeki mereka berlimpahan bagai air sungai yang mengalir tanpa hentinya.

Nabi SAW telah bersabda di dalam banyak hadis-hadis baginda yang telah meriwayatkan bahawa sedekah/infaq boleh dalam pelbagai bentuk dan skala (jumlah). Cukuplah bersedekah dengan membelah kurma dan separuh darinya disedekahkan kepada orang lain. Jika tidak memiliki kurma, bersedekahlah dengan tenaga melalui menolong orang lain seperti membantu mengangkat barang, membantu orang buta atau orang tua melintas jalan.

Ataupun, bersedekah ilmu dengan cara mengajar orang lain walau pun dengan sepatah perkataan. Ini mungkin cara yang sesuai bagi para pelajar yang masih belum mampu menjana pendapatan sendiri.

Jika kita tidak memiliki wang yang banyak, kita mulakan bersedekah sebanyak RM1.00 ke dalam 'tong' kutipan masjid. Jika tidak mampu juga, masukkanlah 10 sen secara berkala. 365 hari x 10 sen = RM36.50...banyak juga tu. Atau, 10 sen seminggu pun jadilah.

Pesan ustaz, di akhirat kelak ramai orang akan muflis apabila dihisab. Amalnya tak cukup, sedekahnya pun sedikit manakala anak-anak pun tidak mendoakannya. Zaman moden yang melalaikan kini penuh dengan pelbagai jenis hiburan seperti nyanyian, cerita-cerita drama dan sebagainya akan menghanyutkan mereka. Anda sendiri berapa kerap anda berdoa untuk ibu bapa anda dan adakah anda yakin anak anda akan mendoakan anda apabila tubuh menjadi jenazah?

Maka salah satu cara untuk mengelak dari muflis di akhirat kelak ialah melalui amalan bersedekah. Selalulah bersedekah di dalam pelbagai bentuk jenis sedekah. Ramai di kalangan kita hanya takut muflis di dunia dan telah lalai atau lupa tentang muflis di akhirat. Ingatan ini adalah untuk saya dan semua yang bersedia untuk membuka minda. Fikir-fikirkanlah....

Wallah hu Alam.


Sedekah Jariah Mengelakkan Muflis Di Akhirat
Sedekah Jariah Mengelakkan Muflis Di Akhirat