#SKIZOFRENIA
GERUN juga dalam hati bila dulu amir selalu ketawa dan bercakap sendirian. Adakala dia terjaga dari tidur malam sambil menjerit dan menepuk dada berkali kali. Kemudian bangun dalam keadaan bercakap dengan suara-suara itu. Hanya orang mengalami sakit mental skozifrenia yang tahu dan merasainya dan faham. Amir sedar apa yang dilakukan tetapi tak mampu untuk lawan dan percaya kata-kata negatif itu walaupun palsu. Sangat berat ujian ini untuk amir.
Kata saya ada cara untuk lawan kata-kata tu. Lawan dengan menafikan suara-suara tu. Jangan sesekali membenarkan kata-kata tu. Namun lama-lama amir boleh kalah juga kerana ia semakin kerap dan berulang setiap hari
Ujian ini juga sangat berat bagi saya sebagai ibu yang menjaga, menghadapi dan mengalaminya. Hanya yang menempuh ujian ini yang tahu dan merasainya dengan azab.
Mengurus pesakit mental tidak sama seperti mengurus orang yang sakit secara fizikal. Saya tidak dapat membaca apa yang berada dalam fikiran amir, apa tindak tanduk amir seterusnya. Ia berubah-rubah kerana minda amir bercelaru. Saya mula mencari kunci ketenangan kerana kesannya sangat besar buat amir jika jiwa dan minda saya lemah. Dalam keadaan penuh tekanan dan gangguan perasaan, berulangkali saya jatuh dan bangkit mencari penyelesaian.
Ia proses yang panjang, proses yang ada pasang surutnya. Proses seorang insan yang tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Proses yang bersungguh-sungguh untuk mengubah keadaan. Saya mau mencari ketenangan, memikul amanah Allah dengan penuh tanggungjawab. Saya perlu tenang.
Kunci Ketenangan.
Al Qur’an kunci yang membuat jiwa saya tenang dalam menguruskan amir. Saat bertemu kunci ini, setiap kali membacanya membuat jiwa merasa Allah SWT begitu dekat dan ia membuat jiwa saya tenang.
Tidak ada kekuatan yang lebih besar daripada kekuatan Allah SWT dalam menyelesaikan setiap permasalahan manusia. Membaca dan memaham isi Al Qur’an membuat hati kita terasa tenang dan tenteram kerana Allah SWT tidak akan pernah meninggalkan hamba-Nya yang juga ingat kepadanya.
Dengan kekuatan Qalam Allah dan ikhtiar ubat psikotik, membantu amir mengawal suara-suara itu. Kini suara-suara tu semakin jauh dan tidak jelas. Suara-suara yang menganggu amir semakin jarang dan kadangkala menghilang. Namun ia mengambil masa. Syukur Alhamdulilah hari ini amir semakin hari semakin positif pemulihannya.
Bagi penjaga yang menguruskan pesakit mental, adakala kita akan mengalami tekanan dan gangguan perasaan, maka tiap kali jiwa terganggu maka bacalah Qalam Allah. Ia ubat paling mujarab, walaupun kita tidak faham maknanya, namun usahakan untuk membacanya setiap hari. Allah akan beri jalan keluar yang tidak kita sangka-sangka. Yakinlah dengan kebesaran Al-Quran!.
Tiada yang melindungi dan memelihara melainkan Allah. Dia Maha Tahu takdirNya!
Inspirasi perjalanan seorang ibu menyantuni anak #skizofrenia yang berjuang untuk sihat.